Friday, October 10, 2008

Demontrasi Desak KPT Umumkan Tarikh PRK : Mahasiswa Hampir Bertempur Dengan FRU (Berita Bergambar)

Petikan asal bertajuk "Pilihan raya kampus: Mahasiswa bantah di Kementerian Pengajian Tinggi", oleh Intan Abdullah


Gambar-gambar sekitar demontrasi


Baca juga Kosmo : Umum segera tarikh pilihan raya - Pelajar universiti sudah tidak sabar untuk memilih barisan kepimpinan baru kampus

Lihat video di TV Pas

Lihat Youtube



PUTRAJAYA, 10 Okt (Hrkh) : Lebih 100 mahasiswa berhimpun di pekarangan bangunan Kementerian Pengajian Tinggi bagi menyampaikan tuntutan mereka khususnya mengenai Pilihan Raya Kampus (PRK) tidak lama lagi.

Antara fokus utama perhimpunan anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia(SMM) pada kali ini adalah untuk mendesak KPT mengumumkan segera tarikh PRK secara rasmi.


Dengan laungan 'student power' yang bergema di seluruh parcel E, Putrajaya tersebut cukup untuk menggambarkan amarah dan semangat anak-anak muda di menara gading yang menuntut pilihan raya kampus dijalankan dengan suasana demokrasi yang sebenar.

Hujan yang turun rintik-rintik pada peringkat permulaan perhimpunan tersebut sedikitpun tidak mematahkan semangat mereka dengan kain rentang dan poster yang berbunyi ' Jangan permainkan kami', 'Kami mahu pilihan raya kampus telus', PRK : Kami demokrasi mahasiswa tidak rela diperbudakkan',

Mereka juga menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung pelaksanaan pengundian secara online menerusi sistem pengundian e-voting dalam PRK akan datang yang dipercayai merupakan taktik untuk mengaburi keputusan PRK sebenar.

"Kami percaya sistem e-voting digunakan untuk menipu mahasiswa kerana mahasiswa tidak dibenarkan untuk melihat pengiraan undi dijalankan sedangkan berdasarkan peraturan pilihan raya, agen tempat pengiraan undi yang dilantik seseorang calon berhak untuk melakukannya," kata wakil Gamis dalam ucapannya.

Mahasiswa juga katanya, meminta agarpihak KPT khususnya pihak yang menguruskan PRK agar memindahkan pusat pembuangan undi daripada kolej kepada fakulti sepertimana yang pernah dibuat suatu ketika dahulu.

Perubahan pusat pengundian adalah dipercayai berpunca daripada kesukaran mereka untuk mencipta 'ruang' bagi melakukan penipuan terutamanya proses pengiraan yang kelihatan lebih mudah untuk diselia -sekaligus memberikan kebaikan kepada pihak pro mahasiswa.

wakil Solidariti Mahasiswa Malaysia, Hafizudin Abireirah pula menyifatkan PRK yang dilaksanakan tidak ubah seperti pemilihan ketua kelas di sekolah dan tadika.

Sementara itu, menurut Koordinator Pendidikan Pengguna dan Masyarakat, Teras Pengupayaan Melayu, Zulzaidi Mahmud pula mahasiswa di kampus kini memerlukan keadilan dilaksanakan di dalam kampus tanpa perlu mengikut sahaja telunjuk pihak pentadbiran universiti.

"Mahasiswa perlu dibebaskan daripada kongkongan pentadbiran universti, bagi melaksanakan idealisme dan keadilan yang dituntut supaya dapat terlaksana sistem demokrasi tulen dalam masyarakat terpelajar.

"Ianya sekaligus menuntut agar perubahan dilakukan dalam sistem pemilihan pemimpin mahasiswa sperti mana yang berlaku dalam politik semasa tanah air pada masa sekarang," tegasnya.

Perhimpunan tersebut turut mengalami kekecohan selepas pihak keselamatan, anggota polis serta sebuah trak kecil anggota simpanan Persekutuan atau FRU bertindak ganas untuk menyuraikan mahasiswa terbabit.

Pegawai Polis berpakaian preman serta pegawai-pegawai KPT pula ligat menjalankan peranan untuk merakamkan setiap aksi dan wajah mahasiswa yang turun menyertai perhimpunan tersebut untuk tujuan dokumentasi dan tindakan susulan selepas ini.

Walau bagaimanapun, ianya dapat dikawal sepenuhnya apabila Pegawai Khas Menteri KPT, Mohd Arif Adenan turun bagi menerima memorandum setebal 20 mukasurat itu.

Ianya disampaikan oleh wakil-wakil mahasiswa yang hadir di lobi bangunan KPT sambil disaksikan menerusi pintu kaca oleh kumpulan mahasiswa daripada luar.

Setelah selesai memorandum tersebut dicop sebagai tanda penerimaan secara rasmi oleh KPT, Mohd Arif menyatakan komitmennya kepada Harakah untuk menyerahkannya terus kepada menteri KPT, Dato' Seri Khaled Nordin yang kini berada di Johor Bahru.

"Saya akan terus menyampaikannya kepada dato' menteri memandangkan saya mengira hal ini adalah serius apabila mahasiswa datang beramai-ramai ke KPT menuntut hal ini diselesaikan dengan seberapa segera," katanya.

Ditanya mengenai tempoh untuk KPT memberikan maklum balas tersebut, beliau enggan mengulas sebaliknya menasihati mahsiswa agar menumpuhkan perhatian kepada akademik daripada melibatkan diri dengan urusan pemilihan MPP.

Perhimpunan diakhiri dengan nyanyian lagu negaraku sebelum sidang media oleh Pro Mahasiswa.

Turut disertai Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysiaa (Gamis), Dema,Persatuan Bahasa Tionghua Universiti Putra Malaysia, JKMI, Teras Pengupayaan Melayu dan beberapa front mahasiswa yang lain.

Tarikh PRK kini menjadi suatu teka-teki apabila ianya hanya digembar-gemburkan oleh media tertentu serta kata-kata tidak rasmi beberapa pimpinan tertinggi pentadbiran beberapa universiti.

Maklumat yang diterima Harakah, bahawa PRK kali ini akan dilaksanakan pada 12 hingga 17 Oktober bagi IPTA Pantai Timur dan Universiti Perguruan Sultan Idris, manakala bagi IPTA yang terletak di Lembah Klang pula akan dilaksanakan pada bulan Januari.

Bantahan terhadap tindakan KPT yang melambatkan tarikh tersebut timbul memandangkan kebanyakan MPP telah dibubarkan setelah ianya telah cukup tempoh 'pemerintahannya' selama setahun daripda tarikh PRK sesi lalu.

Untuk itu, mahasiswa juga meminta KPT melantik Mafrel, Suhakam, SPR dan NGO bagi memantau perjalanan PRK akan datang bagi mengelakkan berlakunya campurtangan selain memastikan perjalanan PRK kali ini berlangsung dalam suasana yang telus dan demokratik.

Thursday, October 9, 2008

Pro-Mahasiswa UPM Mula Bertempur Dengan "Harimau Maut' Aspirasi UPM

SEORANG pengawal keselamatan memperkatakan sesuatu kepada salah seorang pimpinan GAMIS di UPM
ketika beliau bersama Pro-Mahasiswa UPM menyerahkan memorandum kepada Naib Canselor di UPM semalam.


SERDANG, 9 Oktober - Barisan pakatan promahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) menggesa pihak pengurusan universiti berkenaan supaya memastikan tiada gejala samseng atau pergaduhan terutama daripada 'Harimau Maut' pada kempen pilihan raya kampus kali ini.

Wakil pakatan berkenaan, Mohd. Lukman Al Hakim Low Abdullah yang juga bakal calon bagi pilihan raya itu nanti berkata, 'Harimau Maut' telah mengganggu calon dan ahli jentera pilihan raya melaksanakan tugas mereka sewaktu kempen tahun lalu.

"Mereka ini (Harimau Maut) telah bertindak mencabut dan menyembur cat merah ke poster-poster calon promahasiswa serta turut mengugut bagi menakutkan kami.

"Ada juga poster kami yang ditampal dengan pelekat bergambar kepala harimau yang tertulis perkataan 'Harimau Maut'," katanya.

Mohd. Lukman berkata demikian ketika ditemui selepas beliau bersama beberapa ahli promahasiswa UPM menyerahkan Memorandum Terbuka Berhubung Tuntutan Terhadap Pilihan Raya Kampus 2008 kepada Naib Canselor UPM, Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah, di sini semalam.

Isu 'Harimau Maut' itu merupakan salah satu daripada sembilan tuntutan mahasiswa yang tercatat dalam memorandum berkenaan.

Ditanya adakah 'Harimau Maut' akan terus mengganggu kempen pilihan raya kampus kali ini, Mohd. Lukman berkata, berkemungkinan ia akan wujud semula.

"Apa yang kami mahu ialah kembalikan peranan mahasiswa sebab kami bertanggungjawab sebagai generasi pelapis negara," jelasnya.

Sumber : WAN FAKHRUL BAKAR, Kosmo

Baca juga "Pilihan raya kampus: Aspirasi tukar kepada GPMS? " di Harakahdaily

Pilihan Raya Kampus Mula 15 Oktober

KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2008 - Bahang pilihan raya kampus yang melibatkan semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mulai terasa apabila beberapa universiti akan mengadakan pilihan raya mulai 15 Oktober ini.

Antara IPTA yang akan mengadakan pilihan raya pada 15 Oktober itu ialah Universiti Utara Malaysia (UUM) manakala pada hari berikutnya akan melibatkan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Bagaimanapun, IPTA lain masih belum mendapat bayangan mengenai tarikh pilihan raya akan bakal diadakan dan ada yang menjangkakan awal tahun depan.

Keadaan itu berbeza dengan tahun lalu apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menetapkan pilihan raya kampus diadakan secara serentak di seluruh negara.

Dipercayai keadaan ini berpunca daripada tsunami politik yang melanda negara ketika pilihan raya umum ke-12 yang berlangsung pada 8 Mac lalu.

Namun rata-rata, pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar menyifatkan keadaan tersebut tidak akan mempengaruhi suasana politik di dalam kampus.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UteM, Mohammad Firdaus Abdul Rahman, beliau yakin keadaan di dalam kampus tidak akan dipengaruhi oleh situasi politik semasa.

"Mungkin ada sedikit pengaruh tetapi di UteM, politik luar belum kuat dan isu-isu di dalam kampus cuma berkisar mengenai isu-isu kebajikan pelajar sahaja," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagi Yang Dipertua MPP UMP, Salman Razeni, beliau yakin suasana pilihan raya di kampusnya akan berjalan dalam suasana yang harmoni.

Mahasiswa Akan Berhimpun Desak KPT Ishytihar Segera Tarikh PRK

Kuala Lumpur, 8 Oktober 2008 : Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia, Pro-Mahasiswa Nasional dan Solidariti Mahasiswa Malaysia akan mengadakan himpunan aman di hadapan bangunan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam masa terdekat untuk mengemukakan desakan terhadap KPT supaya mengisytiharkan segera tarikh sebenar pilihanraya kampus yang sehingga ke saat ini tidak diumumkan. Polemik timbul kalangan mahasiswa yang prihatin kepada soal kepimpinan mahasiswa, khususnya selepas pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar di beberapa buah kampus, disebabkan tidak kedengaran sebarang pengumuman yang serius dari pihak KPT sendiri kepada pihak universiti dan mahasiswa.

Mahasiswa akan berhimpun secara aman untuk mendesak sama ada KPT mengihsytiharkan terus tarikh pilihanraya kampus sama ada secara selaras atau de-centralized (tidak selaras) atau KPT mesti menyatakan sebab kenapa tarikh PRK terus didiamkan dari pengetahuan mahasiswa ketika usia kesahihan Majlis Perwakilan Pelajar sudah hampir melebihi period setahun selepas keputusan pengumuman rasmi PRK tahun lepas iaitu pada 2 Oktober 2007.

Tindakan KPT mendiamkan tarikh PRK hanya memberikan implikasi negatif kepada KPT sendiri kalangan mahasiswa. Selagi tidak ada penjelasan yang rasional dan memuaskan hati mahasiswa yang cintakan pemulihan secara total sistem demokrasi kampus dalam PRK kali ini, mahasiswa akan terus mengesyaki KPT mempunyai agenda tertentu bermotif politik kepartian yang sempit jika terus merahsiakan tarikh tersebut.

Baca juga "Mahasiswa Anjur Perhimpunan Aman Esok" di Harakahdaily

Monday, October 6, 2008

PRO MAHASISWA TAWAN 5 KAMPUS: Satu Analisis

Oleh : Mohd Nasaie Ismail (bekas aktivis UM)

Maklumat yang diperolehi daripada kawan-kawan lama orang besar Aspirasi menjangkakan mereka akan tewas di 5 buah kampus utama. Mereka juga menjangkakan tidak dapat menguasai dua pertiga kerusi di 3 buah kampus. Sumber, yang merupakan orang rapat kepada Dato Mustafa Muhammad dan Dato Dr Mashitah merasakan trend perubahan yang berlaku dalam pilihanraya umum yang lalu akan mempengaruhi keputusan PR Kampus.

Walaupun mengetahui keadaan yang bakal berlaku, namun tindakan susulan untuk menyekat kemaraan Pro mahasiswa tidak dapat dilakukan seagresif dahulu. Ini disebabkan pergeseran besar yang berlaku dalam UMNO hari ini menyebabkan mereka hilang tumpuan.

Master mind daripada pemuda Umno seperti Dr Adham Baba berdepan dengan krisis kepimpinan UMNO bahagiannya sendiri apabila dia akan berhadapan dengan exco Wanita UMNO yang akan merebut jawatan ketua bahagian. Penghantaran Adham Baba pulang ke Dun di Johor merupakan satu bala yang dirancang oleh Khairy Jamaludin untuk menghancurkan kerier politiknya. Ini kerana jangkaan dia akan menjawat jawatan exco Kerajaan Negeri tidak berhasil.

Individu kedua Ikmal yang merupakan Exco Biro Pendidikan Pemuda Umno juga berhadapan dengan krisis untuk menyatakan sokongan sama ada kepada Khairi atau pihak lain yang akan bertanding ketua pemuda Umno.

Seterusnya imej Aspirasi yang mereka cipta sejak sekian lama sebagai UMNO kampus mendatangkan bala kepada mereka. Ini kerana situasi hari ini menampakkan buruknya UMNO di mata masyarakat apabila tewas di beberapa negeri, berlakunya krisis kepimpinan yang membarah, tebalnya perkauman yang mereka bawa. Bukan sekadar sukar untuk dapatkan undi, sumber ini juga menyatakan mereka sukar mendapat calon.

Aspirasi juga merasakan mereka sukar untuk mendapatkan undi daripada kaum Cina dan India ekoran imej mereka sama dengan UMNO yang dilihat sebegai perkauman.

Selain itu masalah kewangan juga akan berlaku. Pertamanya, pada pliihanraya sebelum ini mereka akan menggunakan bajet Kementerian yang biasanya diberi RM20 ribu setiap kampus. Keduanya mereka akan menggunakan bujet HEP yang diambil dengan menggunakan kertas kerja program palsu. Saya masih ingat ketika turut sama dalam jentera aspirasi UM 3 tahun lalu, ketua jentera yang kemudiannya menjadi Presiden MPP telah membuat satu kertas kerja projek luar kampus atas nama MPP sebelum nya. namun sebenarnya projek itu tidak ada. TNC lulus sahaja dan duit diberikan.

Ketiganya mereka akan menggunakan bujet daripada sumbangan tokoh-tokoh UMNO yang ada di sekeliling. Saya sendiri pernah menyaksikan majlis bersama Datok Mukhtar Dahlan exco kerajaan Selangor ketika itu dan Umno bahagian Subang di Kelab Shah Alam. Beliau menjanjikan untuk memberikan peruntukan dan hadiah besar kepada Aspirasi. Beliau juga menjanjikan jentera puteri dan pemuda Umno akan turut menggempur PRK UM.

Memang sudah menjadi kebiasaan, Umno lah yang akan menaja baju free setiap PR Kampus. Namun pada tahun ini, Umno tewas di negeri Selangor. Kepimpinan mereka di Selangor juga bercakaran. Oleh itu amat sukar bagi pihak aspirasi mendapatkan bujet pilihanraya tahun ini.

Sunday, October 5, 2008

Presiden GAMIS Bina Generasi Muda di SMA Kuala Tembeling

Jerantut, 20-21 September 2008 : Presiden GAMIS, saudara Dzul Khairi Mohd Nor mengambil inisiatif menerima jemputan untuk menjadi full trainer dan motivator bagi sebuah program persediaan ke IPT di SMA Al-Basriyah Kuala Tembeling, Pahang. Program tersebut bertujuan memperkenalkan para pelajar kepada realiti suasana di IPT, berkenalan dengan persatuan-persatuan Islam yang ada, cabaran dan persediaan yang perlu ada pada para pelajar sebelum menjejakkan kaki ke menara gading. Antara para pelajar yang terbabit adalah dari tingkatan 4 dan 5.

Gamisdaily ketika berkesempatan menghubungi beliau menyatakan bahawa sekiranya mahu melihat generasi kepimpinan Islam di kampus pada masa akan datang, lihatlah kualiti kepimpinan yang ada di sekolah-sekolah pada hari ini, khususnya di peringkat sekolah. Selain itu, Dzul Khairi juga mengingatkan bahawa para pelajar juga mestilah dikembangluaskan lagi pendedahan, pengalaman dan pengetahuan mereka kepada dunia luar secara lebih efektif dan holistik. "Andaikata kita lihat banyak kepincangan dan kelemahan di peringkat remaja-remaja Islam di sekolah, kitalah sebagai duta penyelamat dan pemimpin mereka. Masa untuk mengkritik dan mencemuh anak-anak muda remaja sudah ketinggalan. Kini masa untuk mendekati mereka dan mendekatkan mereka kepada Islam dan kepada kita. Insya-Allah, sinar kebangkitan Islam di kampus dan di Malaysia akan dilihat 10-20 tahun dari sekarang", katanya lagi.


Misi Kemanusiaan GAMIS Ke Sungai Udang, Klang

Saudara Hilmi Qusairi dan Yusri antara pimpinan GAMIS
yang hadir bersama team khas kemanusiaan GAMIS.


Rabu, 24 September : Misi Kemanusiaan GAMIS kelolaan Ketua Majlis Dakwah & Kebajikan Gamis, saudara Yusry Hafiz kali ini ke Kampung Sungai Udang di Klang, Selangor. Misi kemanusiaan GAMIS seramai hampir 10 orang aktivis dakwah GAMIS tersebut telah menemui mangsa-mangsa kebakaran dan menyampaikan sedikit sumbangan dari ahli-ahli GAMIS sekitar Lembah Klang. Kebakaran besar di tempat yang sama pernah ditimpa ribut itu berlaku pada jam 11 pagi selama kira-kira 10 minit melibatkan 4 buah rumah hangus terbakar dan memangsakan 4 buah keluarga. Tiada kematian dicatatkan dalam kebakaran tersebut melainkan satu kehilangan nyawa akibat terkejut melihat rumah jiran terbakar. Punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas. Bomba berjaya menghalang kebakaran dari merebak lebih luas.

Antara sumbangan kepada mangsa kebakaran adalah berbentuk pakaian (PMIUM), makanan dan hamper (mahasiswa Islam fakulti kejururawatan UM) dan wang derma kilat dari kampus-kampus lembah Klang dan para pensyarah.


Keluarga mangsa menceritakan kronologi kejadian malang
berlaku kepada aktivis mahasiswa Gamis yang hadir.


Sumbangan tidak seberapa dari ahli-ahli Gamis
Lembah Klang disampaikan oleh ketua dakwah GAMIS


Ketua Umum Mahasiswa GAMIS, saudara Hilmi
Qusairi berkesempatan menemubual salah
seorang mangsa.


Si anak kecil yang sedang melihat masa depannya
yang tidak pasti...