Thursday, January 29, 2009
Tuesday, January 20, 2009
Sujud Di Hadapan di DTC UM Akhirnya Membuahkan Kemenangan
melaporkan kemenangan 9 calon Pro-M di UIAM
Mahasiswi terus menjadi entiti teramai Pro-M
Naib Presiden GAMIS, saudara Hilmi Qusairy mengucapkan jutaan terima kasih seluruh ahli-ahli GAMIS yang telah hadir untuk menyatakan komitmen padu mereka kepada kebangkitan semula politik gerakan mahasiswa Islam di UM.
Setiausaha Agong GAMIS yang turut ditemui oleh krew Gamis Daily pada malam 19 Januari tersebut juga sempat menyatakan : "Pada saat ini, kita berhimpun di sini bukan sekadar mahu meraikan kemenangan 7 calon Pro-M di UPSI tahun lepas, bukan sekadar mahu meraikan kemenangan 13 calon kita yang menang di UKM, 3 orang nun jauh di USM sana, 10 orang nun jauh di UTM, dan terbaru 9 orang di UIAM dan 13 orang kita di UPM, tetapi juga meraikan kemenangan perjuangan Islam di bumi Palestin. Israel telah dimalukan oleh HAMAS apabila terpaksa mengaku kalah dalam kempen kejahatan mereka pada Gaza, mereka boleh membunuh 2 pimpinan besar HAMAS, tetapi mereka gagal sama sekali menghapus keseluruhan jentera gempur ketumbukan dan kerajaan HAMAS."
Presiden GAMIS Gesa MPP Pro-Mahasiswa Jadi Role-Model Semua Mahasiswa
Beliau yang juga bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM menyatakan bahawa inilah masanya wajah baru MPMUM yang dinantikan selama bertahun-tahun sejak kegagalan Pro-Mahasiswa UM menawan semula persatuan terpenting di kampus perdana Lembah Klang tersebut. Justeru, aspek tarbiyah dan dakwah Islamiyah kepada semua mad'u berasaskan konsep Islam rahmat untuk semua mestilah diperkuatkan melalui kuasa baru para aktivis mahasiswa UM tersebut.
Segala janji dalam manifesto untuk menjuarai isu-isu dan permasalahan kebajikan mahasiswa UM mestilah ditunaikan tanpa mengambil kira kecenderungan politik mereka semasa membuat undian ketika PRK tersebut. Apa yang lebih penting adalah konsistensi para pemenang dari kem Pro-Mahasiswa tersebut untuk terus memperjung idealisme dan aktivisme mahasiswa di peringkat nasional, khususnya dalam mengukuhkan suara mahasiswa selaku watchdog kepada kerajaan yang memerintah. Pro-Mahasiswa UM mestilah bukan sahaja dikenali oleh pentadbiran dan HEP UM, tetapi mestilah juga dikenali oleh pentadbiran dan kerajaan Malaysia.
Kabinet Pro-Mahasiswa juga diingatkan untuk tidak lagi asyik mencari populariti sebagai kemuncak gerak kerja berpersatuan nanti dan mestilah mengutamakan gerak kerja mengakar ke bawah (down to earth) walaupun tidak dilihat oleh media supaya mandat kemenangan ini akan berkekalan, mendapat keberkatan dan berpotensi menang lebih besar dalam PRK akan datang.
Presiden GAMIS juga mengingatkan kabinet baru MPMUM supaya dan semua calon Pro-Mahasiswa yang menang di UPSI, UKM, UPM, UTM dan USM serta UIAM tidak lama lagi untuk mengukuhkan solidariti dan partisipasi bersama di peringkat nasional melalui front Badan Bertindak Mahasiswa Negara. Hubungan baik baik dengan semua orang, termasuk rakan-rakan Pro-Aspirasi, staf dan kakitangan universiti mestilah ditonjolkan semaksima mungkin, khususnya melalui kecemerlangan akademik para pimpinan MPP dari Pro Mahasiswa.
Kabinet Pro Mahasiswa seluruh IPTA juga diingatkan supaya tidak lupa sujud syukur dan mestilah mengamalkan sikap tawadhu' dan sentiasa menjalinkan hubungan lebih kuat dengan Allah selepas hubungan baik dengan manusia di kampus.
"Pro-Aspirasi adalah lawan kita ketika PRK, kini mereka adalah mad'u kita selepas PRK. Dekatilah mereka, dekatkanlah mereka pada Islam." ujarnya
Presiden GAMIS juga menyatakan bahawa kini seluruh pimpinan GAMIS meletakkan harapan yang tinggi kepada mahasiswa UIAM untuk mengekalkan arus perubahan dengan Pro-Mahasiswa (We Unite for Islam) kekal dalam MPP UIAM selepas keputusan rasmi diumumkan Khamis, 22 Januari ini.
Monday, January 19, 2009
PRK : Jangan Perbudakkan Mahasiswa ! - Presiden GAMIS
Sehangat perjalanan kempen yang berlangsung di Terengganu, “anak-anak pilihanraya nasional” yang dipacakkan gelaran Pilihanraya Kampus turut berlangsung dengan penuh kejutan dan emosi dan mendebarkan.
Beberapa buah kampus sudah menuju jalan ke arah membentuk kerajaan yang sah sesudah keputusan diumumkan. Kini hanya tinggal 2 buah kampus utama iaitu Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sedang menanti dengan seribu satu persoalan.
Baru-baru ini, universiti tertua di Malaysia, UM telah dikejutkan dengan pembudayaan rasuah semakin bermaharajalela di dalam pilihanraya kampus. Pembelian calon bertanding dan ugut- mengugut calon turut berlangsung dengan begitu rancaknya. Malah, lebih memeranjatkan lagi, perjalanan kempen pilihanraya kampus turut dicemari dengan polemik kepala babi di dalam surau Fakulti Pengajian Islam. Provokasi murahan ini adalah satu tindakan yang tidak bertamadun sama sekali serta mencemarkan imej keintelektualan suasana kemahasiswaan di sana. Campurtangan pihak polis yang tidak profesional malah mendokong dakwaan yang bersifat berat sebelah semasa insiden menyelongkar rumah aktivis pro-mahasiswa (rujukan Malaysiakini, bertarikh 15 Januari 2009) juga menggambarkan bahawa pilihanraya kampus di Malaysia masih lagi tidak menjunjung demokrasi yang adil dan semakin parah.
Beberapa universiti utama di Lembah Klang turut mengalami senario yang sama. Universiti Putra Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia misalnya dinafikan hak untuk berkempen secara adil. Lebih memualkan lagi apabila 6 calon pro Mahasiswa UPM digantung percalonan atas alasan yang sangat remeh, iaitu tidak meletakkan gam untuk melekatkan gambar di borang pencalonan, sebaliknya menggunakan klip.
Pilihanraya kampus kali ini kelihatan semakin ketara memperbudak-budakkan mahasiswa. Amatlah malang, bagi sebuah negara yang bercita-cita besar menjunjung tinggi tamadun serta dalam perkiraan menjadi sebuah negara maju dengan projek meganya yang bersusun-susun, masih lagi berfikiran ortodoks menghalang perkembangan budaya berfikir di kalangan mahasiswa. Mahasiswa seolah-olah terperangkap dalam zaman Feudal atau zaman gelap Eropah dalam kampus.
Justifikasi, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia dengan dengan tegas, mendesak agar kerajaan berhenti daripada melakukan penindasan baik dari segi fizikal mahupun mental kepada mahasiswa. Mahasiswa adalah aset negara paling mahal pada masa akan datang dan sekiranya sekatan pemikiran serta tradisi kemahasiswaan mengorak idea baru untuk negara melalui praktis di pilihanraya kampus terus menerus dicabuli, maka tidak syak lagi, kerajaan sekarang sedang merangka kehancuran masa depan negara dengan melahirkan ramai kaki kipas serta pak turut. Sekiranya pertahanan negara pada masa akan datang bertambah lemah gara-gara para belianya yang tidak berkualiti, maka kerajaan hari ini harus dipersalahkan kerana memporak-perandakan sistem pilihanraya kampus itu sendiri dengan mempotretkannya secara tidak adil dan menghalang budaya idealisme di kalangan mahasiswa.
GAMIS juga menyeru agar pihak lain turut memandang isu pilihanraya kampus ini sebagai perkara yang serius kerana ia adalah berkaitan halatuju kepimpinan negara masa hadapan. GAMIS turut berpandangan bahawa fenomena yang berlaku ini juga turut menguji ketelusan serta integriti sebenar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang baru diwujudkan dalam menangani kes rasuah yang dibangkitkan dengan lantangnya oleh Pro Mahasiswa Nasional dalam pilihanraya kampus ini.
Semua ahli gerakan pro-Mahasiswa Nasional juga diseru agar bersatu hati dalam membantu kampus-kampus yang bermasalah demi kemaslahatan ummah. GAMIS mengharapkan semua pihak mencelikkan mata memikirkan serta berusaha merubah masa depan generasi 20 tahun akan datang yang bakal tercorak melalui penjenamaan serta pendemokrasian semula yang lebih adil pilihanraya kampus.
"BERSAMA MEWACANA PEMIKIRAN ABDUH." - Presiden GAMIS
Malah ada yang menyifatkan beliau sebagai agen kepada freemason. Wow, ia sangat menarik.
Abduh mula menemui kehidupan sebenar dalam fasa yang pertama apabila berguru dengan seorang bapa saudaranya dalam aliran sufi. Yang bagusnya, bapa saudaranya sufi yang bertempat, yang membenci uzlah dan memencil diri, sebaliknya kehidupan bermasyarakat itulah yang terpenting. Kemudian, beliau menemui pencerahan buat sekian kalinya apabila bertemu mata dan hati dengan Jamaluddin al-Afghani.
Dunia beliau ternyata berubah. Al-Afghani dan pemikiran beliau sangat meresapi Abduh. Terasa Abduh dunianya kecil sama sekali. Beliau mula menjadi semakin kritikal. Beliau dengan berani mengkritik sistem Azhar dan pensyarahnya yang disifatkan beku tidak mahu berubah. Beliau mengkritik sistem pendidikan Azhar yang disifatkannya tidak relevan dan rasional serta tidak mampu membesarkan daya berfikir.
Tumpul dan menumpul.
Malah ada beberapa pemikiran beliau yang agak kontroversi. Beliau agak mengagungkan akal dan menyalahi aliran Asy’irah dan Maturidiah. Beliau seakan-akan Mu’tazilah malah kadang-kadang melebihi Mu’tazilah dalam mengagungkan penggunaan akal. Namun sebenarnya, apabila saya mengamati pemikiran sebegini, ia membenarkan apa yang terdetik dalam hati saya ketika usia 13-14 tahun dahulu. Saya baru terasa adalah tidak salah jika saya menyalahi aliran Asy’irah, cuma ketika itu saya baru sahaja berusia sekitar 13 atau 14 tahun. Masih mentah dan setahun jagung.
Akal baginya adalah tinggi dan Allah pun banyak menggesa kita mengoptimumkan penggunaan akal. Sekarang saya menyambung pembacaan saya tentang murid Abduh iaitu Rasyid Redha dalam buku berjudul Kembara Seorang Reformis. Buku kali ini agak berat dan ditulis sendiri oleh beliau. Berbalik kepada Abduh, beliau sememangnya ulama yang sangat kritikal dan berani mengkritik ulama sezaman beliau. Pada asalnya, beliau dan al-Afghani banyak menentang penjajah British di Mesir ketika itu. Sehinggalah akhirnya beliau melihat harus bekerjasama dengan penjajah dalam bentuk sementara, sementelahan dalam masa yang sama, satu bentuk pendidikan membina rakyat perlu diperkasakan.
Saya terkait daya pemikiranbeliau dengan al-Attas. Al-Attas dan murid-murid beliau seperti Prof Wan Noor turut melihat pendidikan sebagai teras perubahan meskipun ia melalui proses yang sangat lama. Maka Abduh juga begitu. Setelah melihat kegagalan Pan-Islamisme gurunya, iaitu dalam bentuk revolusi, maka Abduh mula melihat perlunya kepada Islamisasi bukannya revolusi. Ataupun dalam kata lain, evolusi bukannya revolusi.
Perubahan itu mestilah dimulakan dengan pendidikan yang bernyawa kepada rakyat. Membentuk kefahaman mereka sehingga mereka memahami hakikat kehidupan mereka dalam rangka yang sebenar dan lebih luas.
Saya kurang pasti benar atau tidak benar pembacaan saya berkenaan dengan pemikiran Abduh tentang parti politik. Kita boleh mengkajinya balik. Disebutkan Abduh bersetuju dengan konsep parti itu harus sekular dengan menghimpunkan pelbagai kaum. Tetapi jika dibandingkan dengan sekarang, maka kita melihat Parti Keadilan Rakyat adalah sebuah parti sekular yang difahami Abduh. Jika benar begitu, maka benarlah dikatakan pemikiran Abduh merentasi zaman dan ketika.
Oleh sebab itulah, maka lahirnya dua golongan kalangan murid Abduh. Dari kalangan yang tradisionalis dan liberalis. Taha Hussain yang terkenal dengan aliran liberal juga lahir dalam acuan Azhar yang dibentuk hasil pemikiran Abduh. Tepat sekali, Abduh liberal dari sudut pemikiran jika dilihat dari satu sudut, tetapi ia berpijakkan fahaman al-Quran jika ditekuni sebaiknya.
Pemikiran ulama tiga serangkai mencakupi beliau dan guru beliau serta Rasyid Redha meresapi Hassan al-Banna. Al-Banna bertumbuh sebagai seorang pemuda yang cintakan perubahan. Bermula dengan penguasaan bidang ilmu penting dan asas, kemudian tasauf, al-Banna kemudiannya menjejakkan kaki ke alam haraki. Bezanya, al-Banna hidup setelah keruntuhan khilafah sedangkan Abduh hidup dalam bibit-bibit kehancuran.
Pembebasan pemikiran bagi Abduh adalah untuk melahirkan mujtahid. Bagi beliau, Islam tidak akan berkembang di tangan orang yang lembap dan lemah pemikirannya. Perlu kepada pemikiran mujtahid dan mujaddid yang melihat sesuatu dalam bentuk yang lebih luas. Maka beliau turut memikirkan pentingnya al-Quran dan hadis itu disyarahkan dalam bentuk yang lebih semasa dan terkini supaya lebih relevansinya.
Abduh berpegang, dengan akal kita akan memahami hampir semua perkara. Wahyu perlu disyarahkan oleh keupayaan akal. Cuma ada beberapa perkara yang tidak mampu untuk akal fikirkan seperti bentuk ibadah yang datang betul-betul dari Allah. Dalam konteks ini, Abduh melihat, dengan akal sahaja kita mampu mengetahui kewujudan Allah. Cukup dengan akal sahaja kita mampu membedakan yang mana baik dan yang mana buruk kecuali beberapa perkara yang terlalu mendasar.
Ertinya, beliau tidak menyukai golongan yang hanya berserah sepenuhnya dengan wahyu tanpa berfikir kritis. Sunnah nabi perlu dicermati, biar sesuai dengan masa. Peperangan cara nabi bukannya menunjukkan kita harus meniru satu-persatu cara nabi berperang. Tetapi peperangan cara nabi membawa pengertian, bertindak dan berijtihadlah di lapangan dan medan kamu mengikut kesesuaian.
Adalah tidak cerdik meniru satu-persatu apa yang dibuat nabi dalam peperangan. Orang Barat telah mendalami peperangan cara Nabi lebih daripada kita. Jadi, jika kita menggunakannya, maka kita akan mudah dikalahkan musuh. Maka nabi mengajar kita, berijtihad dalam dunia kamu sendiri.
Dunia pertembungan ideologi Abduh sangat menarik. Bukan perkara mudah bergaduh minda dengan ulama yang sekian ramai, yang tidak bersetuju dengan daya berfikir Abduh. Abduh, meskipun berjaya mengubah beberapa perkara, namun beliau belum mencapai kepuasan yang hakiki. Hingga akhir hayat hidup beliau, beliau dengan nada menyindir berkata, “Al-Azhar seperti rumah sakit jiwa”.
Bagaimana dengan IPTA sekarang? Ia juga bagaikan rumah sakit jiwa. Ramai pesakit jiwa di dalamnya.
Abduh mengajar kita kepentingan untuk melihat ruang ufuk masa depan dengan pantas dan tangkas. Umat Islam harus memimpin dunia bukan dipimpin. Jika kita boleh meneladani pemikiran Abduh, kita wacanakan di kampus masing-masing, kemudian kita cuba belajar menganalisis sistem yang ada sekarang sama ada sistem tarbiah atau pendidikan, maka itu satu tingkah yang amat baik.
Saya mencadangkan, kita wacanakan corak hidup dan gaya berfikir beberapa tokoh besar seperti Mahatma Ghandi, Abraham Lincoln, Sukarno, Jimmy Carter, Lee Kuan Yew, dan sesiapa sahaja yang berjiwa besar untuk dianalisis juga. Jangan lupa ulama tiga serangkai ini, Abduh khususnya.
Dalam masa yang sama, kita boleh juga wacanakan buku tulisan Dr Abdul Majid al-Zindani yang menulis Rahsia Kebangkitan Umat Solahuddin dan Rahsia Bagaimana al-Aqsa Boleh Kembali Ke Tangan Umat Islam. Beliau mengetengahkan strategi yang dipraktikkan Nuruddin al-Zanki, Abdul Qadir Jailani dan juga Imam al-Ghazali. Setelah membacanya, saya sangat terpukul. Lalu saya terperosok dalam medan ilmu yang sangat membingitkan akal saya untuk terus-menerus berfikir.
Saya juga ingin cadangkan, kita wacanakan Tarikh al-Tabari. Tengok dalam beberapa aspek khususnya bagaimana kehebatan umat Islam zaman dahulu sehingga mereka mampu memimpin dunia, malah memimpin Sepanyol dan hampir-hampir membuka Perancis dan Amerika Syarikat. Lihat dan wacanakan faktor kebangkitan dan kejatuhan tamadun Islam khususnya di Sepanyol. Boleh juga kita mengkaji karya Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah. Ia karya sejarah yang sangat baik. Muqaddimah Ibn Khaldun juga mungkin.
Pemikiran Abduh sangat membahayakan bagi sesiapa yang tidak mempunyai basis berfikir dan ilmu yang meninggi. Jika anda belum bersedia, saya tidak syorkan anda membaca buku ini. Tetapi jika anda telah bersedia, dan anda memang ulat buku, maka anda boleh bersedia untuk membaca buku ini. Anda mungkin akan menjadi saya yang kebingungan, tetapi inilah hakikatnya.
Maka janganlah sesekali anda mengkritik Abduh kerana anda langsung tidak setanding dan sebanding dengannya..
MOHD DZUL KHAIRI MOHD NOOR 0132968703 PRESIDEN GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS)
Monday, January 12, 2009
Sekitar Demontrasi Anti Israel di UMS Kampus Labuan
Pada awalnya cadangan perhimpunan ini akan berlangsung hinggah ke luar kampus supaya turut menyedarkan masyarakat Labuan akan perlunya kita menentang Israel dan sekutu-sekutunya. Kawasan sasarannya, adalah kawasan perkampungan yang berhampiran antaranya kg.sungai miri dan sungai pagar.Namun perancangan itu dibatalkan oleh encik Zamri atas sebab -sebab yang kurang munasabah yakni faktor keselamatan.
Perhimpunan aman ini juga telah menyediakan dua buah tabung untuk membantu masyarakat palestin yang memerlukan bantuan, bukan sahaja dalam bentuk bantuan ketenteraan, ubat-ubatan, bahkan kewangan juga amat perlu. Pada perkiraan awal hasil wang yang terkumpul sebanyak RM 2137.50 dapat diperolehi dan wang tersebut akan di serahkan kepada wakil Yayasan Amal malaysia pada hari Khamis minggu hadapan.
Walaupun perhimpunan tersebut tidak berjaya menyedarkan banyak pihak, dan kurang mendapat sambutan. Namun usaha yang kecil ini insyaAllah menjadi bukti, bahwa kita juga tidak menyokong dan mengutuk serangan israel di bumi Palestin, daripada hanya duduk terperuk di bilik membelek-belek buku tanpa berbuat apa-apa.
Kesimpulannya, di dalam kita sibuk mengatur perancangan hidup jangan kita lupa ada musuh yang sedang menghancurkannya. Di dalam kita lalai bergelak ketawa ada jasad kita yang merintih memerhatikannya. Siapakah jasad itu? Diri yang membela akidah mereka.
Demontrasi Anti Israel Mahasiswa Pusat Asasi UIAM
Kebangkitan Islam, Islamofobia dan Ghazza
Sabda Rasulullah SAW, “Hampir tiba satu masa seluruh manusia akan mengerumuni kamu seperti orang yang ingin makan mengerumuni hidangan. Sahabat bertanya, “Apakah kerana kami sedikit ya Rasulullah?” Maka baginda SAW menjawab, “Tidak, bahkan bilangan kamu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut rasa gerun di hati kamu terhadap musuh kamu, dan Allah mencampakkan penyakit wahan ke dalam hatimu. Sahabat bertanya, “Apakah wahan itu?” Baginda SAW menjawab, “Cintakan dunia dan takutkan mati” (Abu Daud)
Hadith di atas bukan hanya sekali diingatkan dan bukan hanya diperdengarkan untuk ummah zaman ini. Malah mungkin ia juga pernah disebut-sebut sebelum ini dan mungkin juga ditempat-tempat lain seluruh dunia.
Allah SWT telah memotivasikan umat Islam dengan janjiNya yang tidak pernah dimungkiri. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Mereka sentiasa berusaha untuk memadamkan agama Allah dengan mulut-mulut mereka, dan Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir membencinya”. Inzar yang Allah SWT campakkan kepada umat Islam ini bukan sebagai satu pelepasan usaha yang harus dibuat oleh pendokong agamaNya bahkan ia adalah pembakar semangat dan ketekunan jihad.