Tuesday, September 23, 2008

Aspirasi UMNO/BN Terdesak Mencari Formula Baru

Setelah Aspirasi berasa gah dengan kemenangan mereka di seluruh Malaysia pada beberapa tahun yang lalu, tahun ini Aspirasi agak tertekan dengan beberapa masalah besar yang melanda mereka. Berdasarkan daripada kemenangan besar mereka sejak 2004 hingga 2007, mereka merasakan kekuatan mereka sukar dicabar oleh kumpulan Pro Mahasiswa. Tahun ini Aspirasi berhadapan dengan beberapa kesukaran khususnya dalam menentukan formula terbaik untuk mereka gunakan dalam PRK 2008 ini. Disamping permasalahan yang sama sepertimana yang terdapat dalam artikel (Lima MPP Aspirasi Akan Jatuh?), mereka juga mengalami dilema untuk mewajahkan jentera mereka untuk menarik perhatian mahasiswa di seluruh negara. Menurut salah seorang alumni Aspirasi yang kini berkhidmat didalam Jentera Aspirasi Nasional, beliau juga tidak menolak kemungkinan kampus-kampus utama dan beberapa kampus di Utara akan tumbang di tangan Pro Mahasiswa.

Aspirasi sedang merangka formula untuk mewajahkan diri mereka diambang PRK 2008. Sebelum daripada ini, mereka banyak menumpang tuah kekuatan UMNO/BN sejak tahun 2004, namun tahun ini tuah itu seakan hilang. Akhir-akhir ini Aspirasi UMNO/BN seakan-akan ditolak masyarakat kampus termasuk pensyarah-pensyarah sekurang-kurangnya di lima buah IPTA. Pendekatan yang sama dibuat oleh mereka saban tahun ditambah dengan beberapa penipuan dijangka akan berulang lagi pada tahun ini.

Maka, Aspirasi UMNO/BN pada tahun 2008 akan cuba mewajahkan semula jentera mereka bagi menarik sokongan dan kepercayaan masyarakat kampus. Mahasiswa-mahasiswa juga pada kali ini cenderung untuk memilih agenda Pro Mahasiswa dan mereka juga bersedia untuk melakukan perubahan secara besar-besaran sebagai tanda protes terhadap Aspirasi UMNO/BN.

Justeru, tidak hairanlah Aspirasi UMNO/BN pada kali ini dilihat cuba untuk berunding dengan beberapa kumpulan minoriti untuk menentang Pro Mahasiswa. Malah, ada dikalangan Aspirasi UMNO/BN dibeberapa buah IPTA misalnya di UIAM sudah mula berjinak-jinak dengan politikus-politikus daripada Pakatan Rakyat untuk menuetralkan imej UMNO/BN yang semakin merosot dan murudum.

Mior Isfandy Mior Azizan

GAMIS Anjur Bengkel Tarbiyah Nasional

21 September 2008, Kuala Lumpur : Walaupun kekalutan menghadapi Pilihanraya Kampus, Majlis Tarbiyah dan Kepimpinan Nasional, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) tetap beranggapan bahawa amanah tarbiyah dan perkaderan kampus adalah suatu keutamaan walaupun ketika menghadapi suasana 'peperangan' iaitu pilihanraya kampus.

MTKN GAMIS telah berjaya mempertemukan kesemua ketua-ketua Lajnah Tarbiyah persatuan-persatuan mahasiswa Islam kampus-kampus cawangan Gamis untuk berbengkel sehari suntuk bagi membincangkan secara serius dan kritkal beberapa topik-topik besar permasalahan tarbiyah kampus saat ini antaranya :

1. Tarbiyah persuasif (meyakinkan mad'u) oleh Dr. Ahmadi
2. Pemurniaan semula konsep dan pendekatan tarbiyah kampus (dimoderatorkan oleh Ustaz Hasrizal Jamil)
3. Orde baru tarbiyah (oleh Hisomudin Bakar)


Antara dapatan terpenting yang diperolehi oleh para peserta adalah keperluan spektrum baru tarbiyah kampus selari dengan arus politik semasa, mencakupi aspek imej, penampilan dan penumpuan lebih kepada ‘substance’, bukannya ‘form’ tarbiyah. Sempadan sasaran tarbiyah juga mestilah dilebarluaskan secara persuasif dan lebih mengutamakan acceptance berbanding ekslusif. Banyak nuqaba telah berjaya membentuk dan merobah fikrah tetapi gagal untuk membentuk dan merobah sikap dan akhlak ahli usrah mereka. Selepas memasuki jamaah kampus sekali, perubahan sikap tidakpun berlaku. Antara lontaran terpenting trainers dalam bengkel MTKN ini juga adalah sejauhmana manhaj tarbiyah kampus menekankan pembinaan ahli bagi 20-30 tahun akan datang, bukan sekadar 3-4 tahun di kampus.

GAMIS Anjur Munajat 21 Ramadhan Hadapi PRK

21 September, Kuala Lumpur : Majlis Politik Nasional, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) telah mengadakan Ijtimak Pilihanraya Kampus dan Munajat Perdana sempena malam 21 Ramadhan 1429 H. Ijtimak yang diadakan untuk memberikan suntikan semangat jihad untuk memasuki pilihanraya kampus ini turut sama membabitkan semua kampus-kampus cawangan Gamis walaupun yang tidak memasuki pilihanraya kampus bagi tujuan membina Wahdah (penyatuan) dan kebersamaan gerakan dalam memacu kebangkitan mahasiswa Islam khususnya dan Pro-Mahasiswa Nasional umumnya. Menurut sumber terdekat Gamis, PRK dijangka akan diadakan secara decentralized (tidak serentak) selepas 2 minggu Idulfitri.

Monday, September 22, 2008

Mahasiswa: Mampukah Kembali Menggugat ?

Lipatan sejarah telah membuktikan cubaan untuk menerobos benteng yang menyekat di kala ramai yang terkandas di tubirnya merupakan suatu usaha berani. Golongan mahasiswa yang sanggup mendepani cabaran walaupun sedikit jumlahnya perlu diberikan ruang untuk menyatakan aliran pemikiran, merencana idealisma mahupun gagasan baru yang dibawa mereka. Kesediaan mereka untuk bersama dalam suatu gerakan massa adalah perlakuan terpuji yang sudah lama terkubur dalam sejarah panjang perkembangan negara.

Mahasiswa sebegini merintis jalan baru dalam pertumbuhan minda belia seusia mereka. Mereka membuktikan bahawa gaya hidup tipikal belia semakin menampakkan perubahan. Tiada lagi yang memasang angan untuk hidup berdua di galaksi bersama sang kekasih mahupun yang pernah mengimpikan untuk menggapai bulan bagi membuktikan rasa cinta kepada si jantung hati. Mahasiswa kontemporari lebih gemar dengan wacana Islami (dalam konteks mahasiswa Islam) dan turut sama merasai denyut nadi masyarakat di sekeliling mereka.

Mahupun begitu, keberadaan mahasiswa di tengah gelora masyarakat kadangkala dilihat sebagai masalah. Suara mereka adakalanya terlalu lantang mendesak dan langsung tidak boleh digula-gulakan walaupun sedikit. Lantaran itu pergerakan mereka disekat dan langsung diterima oleh semua dengan alasan mahasiswa adalah golongan harapan yang perlu mempastikan mereka diulit oleh buku dan bersedia menghadapi peperiksaan.

Akhirnya, mahasiswa yang mulanya lantang mencanang pelbagai isu tentang hak, keadilan dan kebenaran, solidariti, kesamarataan serta kelangsungan masyarakat akan turut mati. Ia punah dan lebur dalam himpitan cita-cita dan tanggungjawab. Pembelajaran mereka di universiti pula bolehlah dianggap sebagai hanya mengisi masa lapang. Tanpa sedar, mereka telah mengabaikan amanah yang menuntut mereka menyatakan yang hak dan menyanggah yang batil.

Nilainya juga hilang diterbangkan ribut yang melanda masyarakat seputarnya. Mereka akhirnya akan dinilai sama seperti belia-belia biasa yang lebih suka terhenjut-henjut menikmati bingit muzik, tenggelam dalam budaya hedonisma. Mungkin juga mereka akan turut serta memeriahkan konsert-konsert di pesta tahun baru dan entah apa lagi wabak yang telah bernanah dan berulat dalam kalangan belia tanpa ambil peduli tentang dunia sekelilingnya. Ketika sekularisme (pemisahan antara agama dan keduniaan) begitu parah, mahasiswa harus kembali kepada teras. Mereka bukanlah golongan yang lemah dan merelakan permasalahan bermaharajalela di depan mata. Mahasiswa juga tidak harus semata-mata menentang. Mereka juga perlu menyumbang. Sewajarnya idealisma yang jitu perlu diterjemahkan melalui pendekatan yang holistik dan realistik, perjuangan politik nilai harus terus dihiasi dengan konsistensi kekal dalam mainstream masyarakat agar status quo mahasiswa sebagai pressure group dan front liner kepada rakyat dapat direalisasikan. Tetapi dalam proses itu adakah mereka akan bangkit kembali atau mampukah mereka menggugat?

“Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah kamu berdukacita,padahal kamulah orang-orang yang tertinggi(kedudukannya di sisi Allah) jika kamu orang yang benar-benar beriman.”- 'ali imran; 139

Ihsan daripada :

Azlan Zainal