Sunday, October 5, 2008

Presiden GAMIS Bina Generasi Muda di SMA Kuala Tembeling

Jerantut, 20-21 September 2008 : Presiden GAMIS, saudara Dzul Khairi Mohd Nor mengambil inisiatif menerima jemputan untuk menjadi full trainer dan motivator bagi sebuah program persediaan ke IPT di SMA Al-Basriyah Kuala Tembeling, Pahang. Program tersebut bertujuan memperkenalkan para pelajar kepada realiti suasana di IPT, berkenalan dengan persatuan-persatuan Islam yang ada, cabaran dan persediaan yang perlu ada pada para pelajar sebelum menjejakkan kaki ke menara gading. Antara para pelajar yang terbabit adalah dari tingkatan 4 dan 5.

Gamisdaily ketika berkesempatan menghubungi beliau menyatakan bahawa sekiranya mahu melihat generasi kepimpinan Islam di kampus pada masa akan datang, lihatlah kualiti kepimpinan yang ada di sekolah-sekolah pada hari ini, khususnya di peringkat sekolah. Selain itu, Dzul Khairi juga mengingatkan bahawa para pelajar juga mestilah dikembangluaskan lagi pendedahan, pengalaman dan pengetahuan mereka kepada dunia luar secara lebih efektif dan holistik. "Andaikata kita lihat banyak kepincangan dan kelemahan di peringkat remaja-remaja Islam di sekolah, kitalah sebagai duta penyelamat dan pemimpin mereka. Masa untuk mengkritik dan mencemuh anak-anak muda remaja sudah ketinggalan. Kini masa untuk mendekati mereka dan mendekatkan mereka kepada Islam dan kepada kita. Insya-Allah, sinar kebangkitan Islam di kampus dan di Malaysia akan dilihat 10-20 tahun dari sekarang", katanya lagi.


No comments: