Thursday, January 29, 2009
Tuesday, January 20, 2009
Sujud Di Hadapan di DTC UM Akhirnya Membuahkan Kemenangan
melaporkan kemenangan 9 calon Pro-M di UIAM
Naib Presiden GAMIS, saudara Hilmi Qusairy mengucapkan jutaan terima kasih seluruh ahli-ahli GAMIS yang telah hadir untuk menyatakan komitmen padu mereka kepada kebangkitan semula politik gerakan mahasiswa Islam di UM.
Presiden GAMIS Gesa MPP Pro-Mahasiswa Jadi Role-Model Semua Mahasiswa
Presiden GAMIS, saudara Dzul Khairi mengucapkan tahniah kepada Pro-Mahasiswa Universiti Malaysia atas kemenangan tipis dalam pilihanraya kampus Majlis Perwakilan Mahasiswa UM. Gamis Daily ketika menghubungi beliau menyatakan gesaan agar Pro-Mahasiswa perlu segera membuat pelan bertindak yang konkrit dan komprehensif untuk mengisi kemenangan yang telah dimandatkan oleh majoriti mahasiswa UM.Beliau yang juga bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM menyatakan bahawa inilah masanya wajah baru MPMUM yang dinantikan selama bertahun-tahun sejak kegagalan Pro-Mahasiswa UM menawan semula persatuan terpenting di kampus perdana Lembah Klang tersebut. Justeru, aspek tarbiyah dan dakwah Islamiyah kepada semua mad'u berasaskan konsep Islam rahmat untuk semua mestilah diperkuatkan melalui kuasa baru para aktivis mahasiswa UM tersebut.
Segala janji dalam manifesto untuk menjuarai isu-isu dan permasalahan kebajikan mahasiswa UM mestilah ditunaikan tanpa mengambil kira kecenderungan politik mereka semasa membuat undian ketika PRK tersebut. Apa yang lebih penting adalah konsistensi para pemenang dari kem Pro-Mahasiswa tersebut untuk terus memperjung idealisme dan aktivisme mahasiswa di peringkat nasional, khususnya dalam mengukuhkan suara mahasiswa selaku watchdog kepada kerajaan yang memerintah. Pro-Mahasiswa UM mestilah bukan sahaja dikenali oleh pentadbiran dan HEP UM, tetapi mestilah juga dikenali oleh pentadbiran dan kerajaan Malaysia.
Kabinet Pro-Mahasiswa juga diingatkan untuk tidak lagi asyik mencari populariti sebagai kemuncak gerak kerja berpersatuan nanti dan mestilah mengutamakan gerak kerja mengakar ke bawah (down to earth) walaupun tidak dilihat oleh media supaya mandat kemenangan ini akan berkekalan, mendapat keberkatan dan berpotensi menang lebih besar dalam PRK akan datang.
Presiden GAMIS juga mengingatkan kabinet baru MPMUM supaya dan semua calon Pro-Mahasiswa yang menang di UPSI, UKM, UPM, UTM dan USM serta UIAM tidak lama lagi untuk mengukuhkan solidariti dan partisipasi bersama di peringkat nasional melalui front Badan Bertindak Mahasiswa Negara. Hubungan baik baik dengan semua orang, termasuk rakan-rakan Pro-Aspirasi, staf dan kakitangan universiti mestilah ditonjolkan semaksima mungkin, khususnya melalui kecemerlangan akademik para pimpinan MPP dari Pro Mahasiswa.
Kabinet Pro Mahasiswa seluruh IPTA juga diingatkan supaya tidak lupa sujud syukur dan mestilah mengamalkan sikap tawadhu' dan sentiasa menjalinkan hubungan lebih kuat dengan Allah selepas hubungan baik dengan manusia di kampus.
"Pro-Aspirasi adalah lawan kita ketika PRK, kini mereka adalah mad'u kita selepas PRK. Dekatilah mereka, dekatkanlah mereka pada Islam." ujarnya
Presiden GAMIS juga menyatakan bahawa kini seluruh pimpinan GAMIS meletakkan harapan yang tinggi kepada mahasiswa UIAM untuk mengekalkan arus perubahan dengan Pro-Mahasiswa (We Unite for Islam) kekal dalam MPP UIAM selepas keputusan rasmi diumumkan Khamis, 22 Januari ini.
Monday, January 19, 2009
PRK : Jangan Perbudakkan Mahasiswa ! - Presiden GAMIS
Tsunami politik negara yang berombak di seluruh negara masih lagi terasa bahangnya bilamana Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu yang berlangsung baru-baru ini turut menatijahkan keputusan yang mempositifkan lagi sokongan terhadap Pakatan Rakyat. Politik Nasional sedang mengalami satu transformasi secara drastik tanpa disedari.Sehangat perjalanan kempen yang berlangsung di Terengganu, “anak-anak pilihanraya nasional” yang dipacakkan gelaran Pilihanraya Kampus turut berlangsung dengan penuh kejutan dan emosi dan mendebarkan.
Beberapa buah kampus sudah menuju jalan ke arah membentuk kerajaan yang sah sesudah keputusan diumumkan. Kini hanya tinggal 2 buah kampus utama iaitu Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sedang menanti dengan seribu satu persoalan.
Baru-baru ini, universiti tertua di Malaysia, UM telah dikejutkan dengan pembudayaan rasuah semakin bermaharajalela di dalam pilihanraya kampus. Pembelian calon bertanding dan ugut- mengugut calon turut berlangsung dengan begitu rancaknya. Malah, lebih memeranjatkan lagi, perjalanan kempen pilihanraya kampus turut dicemari dengan polemik kepala babi di dalam surau Fakulti Pengajian Islam. Provokasi murahan ini adalah satu tindakan yang tidak bertamadun sama sekali serta mencemarkan imej keintelektualan suasana kemahasiswaan di sana. Campurtangan pihak polis yang tidak profesional malah mendokong dakwaan yang bersifat berat sebelah semasa insiden menyelongkar rumah aktivis pro-mahasiswa (rujukan Malaysiakini, bertarikh 15 Januari 2009) juga menggambarkan bahawa pilihanraya kampus di Malaysia masih lagi tidak menjunjung demokrasi yang adil dan semakin parah.
Beberapa universiti utama di Lembah Klang turut mengalami senario yang sama. Universiti Putra Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia misalnya dinafikan hak untuk berkempen secara adil. Lebih memualkan lagi apabila 6 calon pro Mahasiswa UPM digantung percalonan atas alasan yang sangat remeh, iaitu tidak meletakkan gam untuk melekatkan gambar di borang pencalonan, sebaliknya menggunakan klip.
Pilihanraya kampus kali ini kelihatan semakin ketara memperbudak-budakkan mahasiswa. Amatlah malang, bagi sebuah negara yang bercita-cita besar menjunjung tinggi tamadun serta dalam perkiraan menjadi sebuah negara maju dengan projek meganya yang bersusun-susun, masih lagi berfikiran ortodoks menghalang perkembangan budaya berfikir di kalangan mahasiswa. Mahasiswa seolah-olah terperangkap dalam zaman Feudal atau zaman gelap Eropah dalam kampus.
Justifikasi, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia dengan dengan tegas, mendesak agar kerajaan berhenti daripada melakukan penindasan baik dari segi fizikal mahupun mental kepada mahasiswa. Mahasiswa adalah aset negara paling mahal pada masa akan datang dan sekiranya sekatan pemikiran serta tradisi kemahasiswaan mengorak idea baru untuk negara melalui praktis di pilihanraya kampus terus menerus dicabuli, maka tidak syak lagi, kerajaan sekarang sedang merangka kehancuran masa depan negara dengan melahirkan ramai kaki kipas serta pak turut. Sekiranya pertahanan negara pada masa akan datang bertambah lemah gara-gara para belianya yang tidak berkualiti, maka kerajaan hari ini harus dipersalahkan kerana memporak-perandakan sistem pilihanraya kampus itu sendiri dengan mempotretkannya secara tidak adil dan menghalang budaya idealisme di kalangan mahasiswa.
GAMIS juga menyeru agar pihak lain turut memandang isu pilihanraya kampus ini sebagai perkara yang serius kerana ia adalah berkaitan halatuju kepimpinan negara masa hadapan. GAMIS turut berpandangan bahawa fenomena yang berlaku ini juga turut menguji ketelusan serta integriti sebenar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang baru diwujudkan dalam menangani kes rasuah yang dibangkitkan dengan lantangnya oleh Pro Mahasiswa Nasional dalam pilihanraya kampus ini.
Semua ahli gerakan pro-Mahasiswa Nasional juga diseru agar bersatu hati dalam membantu kampus-kampus yang bermasalah demi kemaslahatan ummah. GAMIS mengharapkan semua pihak mencelikkan mata memikirkan serta berusaha merubah masa depan generasi 20 tahun akan datang yang bakal tercorak melalui penjenamaan serta pendemokrasian semula yang lebih adil pilihanraya kampus.
"BERSAMA MEWACANA PEMIKIRAN ABDUH." - Presiden GAMIS
Saya baru menghabiskan buku berkenaan Sheikh Muhammad Abduh. Ia berkenaan pemikiran beliau. Cara beliau berfikir bagi saya, deras sekali. Tidak terkejar dek otak saya yang tumpul ini untuk memahami dalam kerangka holistik. Saya menyebut kepada saudara saya Azlan, memang patutlah jika beliau dilabelkan sebagai modenis. Kerana ternyata, pemikiran beliau menongkah arus dan merempuh tradisi kebiasaan.Malah ada yang menyifatkan beliau sebagai agen kepada freemason. Wow, ia sangat menarik.
Abduh mula menemui kehidupan sebenar dalam fasa yang pertama apabila berguru dengan seorang bapa saudaranya dalam aliran sufi. Yang bagusnya, bapa saudaranya sufi yang bertempat, yang membenci uzlah dan memencil diri, sebaliknya kehidupan bermasyarakat itulah yang terpenting. Kemudian, beliau menemui pencerahan buat sekian kalinya apabila bertemu mata dan hati dengan Jamaluddin al-Afghani.
Dunia beliau ternyata berubah. Al-Afghani dan pemikiran beliau sangat meresapi Abduh. Terasa Abduh dunianya kecil sama sekali. Beliau mula menjadi semakin kritikal. Beliau dengan berani mengkritik sistem Azhar dan pensyarahnya yang disifatkan beku tidak mahu berubah. Beliau mengkritik sistem pendidikan Azhar yang disifatkannya tidak relevan dan rasional serta tidak mampu membesarkan daya berfikir.
Tumpul dan menumpul.
Malah ada beberapa pemikiran beliau yang agak kontroversi. Beliau agak mengagungkan akal dan menyalahi aliran Asy’irah dan Maturidiah. Beliau seakan-akan Mu’tazilah malah kadang-kadang melebihi Mu’tazilah dalam mengagungkan penggunaan akal. Namun sebenarnya, apabila saya mengamati pemikiran sebegini, ia membenarkan apa yang terdetik dalam hati saya ketika usia 13-14 tahun dahulu. Saya baru terasa adalah tidak salah jika saya menyalahi aliran Asy’irah, cuma ketika itu saya baru sahaja berusia sekitar 13 atau 14 tahun. Masih mentah dan setahun jagung.
Akal baginya adalah tinggi dan Allah pun banyak menggesa kita mengoptimumkan penggunaan
akal. Sekarang saya menyambung pembacaan saya tentang murid Abduh iaitu Rasyid Redha dalam buku berjudul Kembara Seorang Reformis. Buku kali ini agak berat dan ditulis sendiri oleh beliau. Berbalik kepada Abduh, beliau sememangnya ulama yang sangat kritikal dan berani mengkritik ulama sezaman beliau. Pada asalnya, beliau dan al-Afghani banyak menentang penjajah British di Mesir ketika itu. Sehinggalah akhirnya beliau melihat harus bekerjasama dengan penjajah dalam bentuk sementara, sementelahan dalam masa yang sama, satu bentuk pendidikan membina rakyat perlu diperkasakan.Saya terkait daya pemikiranbeliau dengan al-Attas. Al-Attas dan murid-murid beliau seperti Prof Wan Noor turut melihat pendidikan sebagai teras perubahan meskipun ia melalui proses yang sangat lama. Maka Abduh juga begitu. Setelah melihat kegagalan Pan-Islamisme gurunya, iaitu dalam bentuk revolusi, maka Abduh mula melihat perlunya kepada Islamisasi bukannya revolusi. Ataupun dalam kata lain, evolusi bukannya revolusi.
Perubahan itu mestilah dimulakan dengan pendidikan yang bernyawa kepada rakyat. Membentuk kefahaman mereka sehingga mereka memahami hakikat kehidupan mereka dalam rangka yang sebenar dan lebih luas.
Saya kurang pasti benar atau tidak benar pembacaan saya berkenaan dengan pemikiran Abduh tentang parti politik. Kita boleh mengkajinya balik. Disebutkan Abduh bersetuju dengan konsep parti itu harus sekular dengan menghimpunkan pelbagai kaum. Tetapi jika dibandingkan dengan sekarang, maka kita melihat Parti Keadilan Rakyat adalah sebuah parti sekular yang difahami Abduh. Jika benar begitu, maka benarlah dikatakan pemikiran Abduh merentasi zaman dan ketika.
Oleh sebab itulah, maka lahirnya dua golongan kalangan murid Abduh. Dari kalangan yang tradisionalis dan liberalis. Taha Hussain yang terkenal dengan aliran liberal juga lahir dalam acuan Azhar yang dibentuk hasil pemikiran Abduh. Tepat sekali, Abduh liberal dari sudut pemikiran jika dilihat dari satu sudut, tetapi ia berpijakkan fahaman al-Quran jika ditekuni sebaiknya.
Pemikiran ulama tiga serangkai mencakupi beliau dan guru beliau serta Rasyid Redha meresapi Hassan al-Banna. Al-Banna bertumbuh sebagai seorang pemuda yang cintakan perubahan. Bermula dengan penguasaan bidang ilmu penting dan asas, kemudian tasauf, al-Banna kemudiannya menjejakkan kaki ke alam haraki. Bezanya, al-Banna hidup setelah keruntuhan khilafah sedangkan Abduh hidup dalam bibit-bibit kehancuran.
Pembebasan pemikiran bagi Abduh adalah untuk melahirkan mujtahid. Bagi beliau, Islam tidak akan berkembang di tangan orang yang lembap dan lemah pemikirannya. Perlu kepada pemikiran mujtahid dan mujaddid yang melihat sesuatu dalam bentuk yang lebih luas. Maka beliau turut memikirkan pentingnya al-Quran dan hadis itu disyarahkan dalam bentuk yang lebih semasa dan terkini supaya lebih relevansinya.
Abduh berpegang, dengan akal kita akan memahami hampir semua perkara. Wahyu perlu disyarahkan oleh keupayaan akal. Cuma ada beberapa perkara yang tidak mampu untuk akal fikirkan seperti bentuk ibadah yang datang betul-betul dari Allah. Dalam konteks ini, Abduh melihat, dengan akal sahaja kita mampu mengetahui kewujudan Allah. Cukup dengan akal sahaja kita mampu membedakan yang mana baik dan yang mana buruk kecuali beberapa perkara yang terlalu mendasar.
Ertinya, beliau tidak menyukai golongan yang hanya berserah sepenuhnya dengan wahyu tanpa berfikir kritis. Sunnah nabi perlu dicermati, biar sesuai dengan masa. Peperangan cara nabi bukannya menunjukkan kita harus meniru satu-persatu cara nabi berperang. Tetapi peperangan cara nabi membawa pengertian, bertindak dan berijtihadlah di lapangan dan medan kamu mengikut kesesuaian.
Adalah tidak cerdik meniru satu-persatu apa yang dibuat nabi dalam peperangan. Orang Barat telah mendalami peperangan cara Nabi lebih daripada kita. Jadi, jika kita menggunakannya, maka kita akan mudah dikalahkan musuh. Maka nabi mengajar kita, berijtihad dalam dunia kamu sendiri.
Dunia pertembungan ideologi Abduh sangat menarik. Bukan perkara mudah bergaduh minda dengan ulama yang sekian ramai, yang tidak bersetuju dengan daya berfikir Abduh. Abduh, meskipun berjaya mengubah beberapa perkara, namun beliau belum mencapai kepuasan yang hakiki. Hingga akhir hayat hidup beliau, beliau dengan nada menyindir berkata, “Al-Azhar seperti rumah sakit jiwa”.
Bagaimana dengan IPTA sekarang? Ia juga bagaikan rumah sakit jiwa. Ramai pesakit jiwa di dalamnya.
Abduh mengajar kita kepentingan untuk melihat ruang ufuk masa depan dengan pantas dan tangkas. Umat Islam harus memimpin dunia bukan dipimpin. Jika kita boleh meneladani pemikiran Abduh, kita wacanakan di kampus masing-masing, kemudian kita cuba belajar menganalisis sistem yang ada sekarang sama ada sistem tarbiah atau pendidikan, maka itu satu tingkah yang amat baik.
Saya mencadangkan, kita wacanakan corak hidup dan gaya berfikir beberapa tokoh besar seperti Mahatma Ghandi, Abraham Lincoln, Sukarno, Jimmy Carter, Lee Kuan Yew, dan sesiapa sahaja yang berjiwa besar untuk dianalisis juga. Jangan lupa ulama tiga serangkai ini, Abduh khususnya.
Dalam masa yang sama, kita boleh juga wacanakan buku tulisan Dr Abdul Majid al-Zindani yang menulis Rahsia Kebangkitan Umat Solahuddin dan Rahsia Bagaimana al-Aqsa Boleh Kembali Ke Tangan Umat Islam. Beliau mengetengahkan strategi yang dipraktikkan Nuruddin al-Zanki, Abdul Qadir Jailani dan juga Imam al-Ghazali. Setelah membacanya, saya sangat terpukul. Lalu saya terperosok dalam medan ilmu yang sangat membingitkan akal saya untuk terus-menerus berfikir.
Saya juga ingin cadangkan, kita wacanakan Tarikh al-Tabari. Tengok dalam beberapa aspek khususnya bagaimana kehebatan umat Islam zaman dahulu sehingga mereka mampu memimpin dunia, malah memimpin Sepanyol dan hampir-hampir membuka Perancis dan Amerika Syarikat. Lihat dan wacanakan faktor kebangkitan dan kejatuhan tamadun Islam khususnya di Sepanyol. Boleh juga kita mengkaji karya Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah. Ia karya sejarah yang sangat baik. Muqaddimah Ibn Khaldun juga mungkin.
Pemikiran Abduh sangat membahayakan bagi sesiapa yang tidak mempunyai basis berfikir dan ilmu yang meninggi. Jika anda belum bersedia, saya tidak syorkan anda membaca buku ini. Tetapi jika anda telah bersedia, dan anda memang ulat buku, maka anda boleh bersedia untuk membaca buku ini. Anda mungkin akan menjadi saya yang kebingungan, tetapi inilah hakikatnya.
Maka janganlah sesekali anda mengkritik Abduh kerana anda langsung tidak setanding dan sebanding dengannya..
MOHD DZUL KHAIRI MOHD NOOR 0132968703 PRESIDEN GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS)
Monday, January 12, 2009
Sekitar Demontrasi Anti Israel di UMS Kampus Labuan
Jumaat, 9 Januari 2009, Labuan : Bergema kuat di bumi kepulauan Labuan. Perhimpunan Aman Palestin ini diadakan di hadapan Masjid al-Hikmah Kampus Antarabangsa Labuan. Perhimpunan aman Palestin yang julung-julung kalinya diadakan ini adalah kerana diatas kesedaran yang wujud di dalam diri mahasiswa UMSKAL.
Perhimpunan aman ini adalah cetusan idea daripada Badan Dakwah dan Kerohanian yang diajukan kepada presiden KAL saudara Abdillah Mat Lin dan juga persatuan - persatuan lain dengan mendapat sokongan penuh daripada semua persatuan yang wujud di sini.Pada awalnya cadangan perhimpunan ini akan berlangsung hinggah ke luar kampus supaya turut menyedarkan masyarakat Labuan akan perlunya kita menentang Israel dan sekutu-sekutunya. Kawasan sasarannya, adalah kawasan perkampungan yang berhampiran antaranya kg.sungai miri dan sungai pagar.Namun perancangan itu dibatalkan oleh encik Zamri atas sebab -sebab yang kurang munasabah yakni faktor keselamatan.
Perhimpunan aman ini juga telah menyediakan dua buah tabung untuk membantu masyarakat palestin yang memerlukan bantuan, bukan sahaja dalam bentuk bantuan ketenteraan, ubat-ubatan, bahkan kewangan juga amat perlu. Pada perkiraan awal hasil wang yang terkumpul sebanyak RM 2137.50 dapat diperolehi dan wang tersebut akan di serahkan kepada wakil Yayasan Amal malaysia pada hari Khamis minggu hadapan.
Walaupun perhimpunan tersebut tidak berjaya menyedarkan banyak pihak, dan kurang mendapat sambutan. Namun usaha yang kecil ini insyaAllah menjadi bukti, bahwa kita juga tidak menyokong dan mengutuk serangan israel di bumi Palestin, daripada hanya duduk terperuk di bilik membelek-belek buku tanpa berbuat apa-apa.
Kesimpulannya, di dalam kita sibuk mengatur perancangan hidup jangan kita lupa ada musuh yang sedang menghancurkannya. Di dalam kita lalai bergelak ketawa ada jasad kita yang merintih memerhatikannya. Siapakah jasad itu? Diri yang membela akidah mereka.Demontrasi Anti Israel Mahasiswa Pusat Asasi UIAM





Sekitar gambar demontrasi mahasiswa di Pusat Asasi UIAM Petaling Jaya pada Jumaat lepas, 9 Januari 2009.
Kebangkitan Islam, Islamofobia dan Ghazza
Sabda Rasulullah SAW, “Hampir tiba satu masa seluruh manusia akan mengerumuni kamu seperti orang yang ingin makan mengerumuni hidangan. Sahabat bertanya, “Apakah kerana kami sedikit ya Rasulullah?” Maka baginda SAW menjawab, “Tidak, bahkan bilangan kamu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut rasa gerun di hati kamu terhadap musuh kamu, dan Allah mencampakkan penyakit wahan ke dalam hatimu. Sahabat bertanya, “Apakah wahan itu?” Baginda SAW menjawab, “Cintakan dunia dan takutkan mati” (Abu Daud)
Hadith di atas bukan hanya sekali diingatkan dan bukan hanya diperdengarkan untuk ummah zaman ini. Malah mungkin ia juga pernah disebut-sebut sebelum ini dan mungkin juga ditempat-tempat lain seluruh dunia.
Allah SWT telah memotivasikan umat Islam dengan janjiNya yang tidak pernah dimungkiri. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Mereka sentiasa berusaha untuk memadamkan agama Allah dengan mulut-mulut mereka, dan Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir membencinya”. Inzar yang Allah SWT campakkan kepada umat Islam ini bukan sebagai satu pelepasan usaha yang harus dibuat oleh pendokong agamaNya bahkan ia adalah pembakar semangat dan ketekunan jihad.
Konviksi yang hadir dalam qalbu umat Islam ialah masa depan dunia adalah milik Islam.
Namun begitu, kemanisan merasai nikmat pemerintahan dan dominasi kuasa Islam itu harus dibayar terlebih dahulu dengan keringat pengorbanan yang tidak kenal erti penat dan lelah.
Hari ini bukan sekali malah berkali-kali umat Islam diserang secara fizikal, mental dan spiritual. Serangan demi serangan ini bukan kerana umat Islam lemah dan mandom tapi mereka bergerak untuk bangkit dan merevolusikan dunia secara sistematis dan efektif. Jika tiada kebangkitan Islam secara dramatik sudah pasti tiada serangan kaafiruun secara agresif. Apakah benar kebangkitan Islam ini?
Dunia hari ini seolah-olah berlaku trend perubahan. Walaupun bukan label perubahan itu dikaitkan dengan perubahan Islam secara formal dan berwajah, namun perubahan atau tranformasi dari tradisi dan stereotaip yang lama kepada dimensi yang baru samada dalam politik mahupun ekonomi sedang berlaku.
Perubahan Ekonomi Dunia
Krisis ekonomi global mengheret kuasa kapitalisme ke penghujung usia. Amerika Syarikat yang gah dipersada dunia hampir lumpuh apabila beberapa syarikat gergasi kewangan miliknya jatuh tersungkur. Hanya beberapa syarikat kewangan serta bank yang mampu dibailout oleh Kongres.
Laporan daripada Bank Dunia merekodkan import Amerika Syarikat telah menurun dengan mendadak. Pakar-pakar analisa ekonomi juga meramalkan pembekal-pembekal eksport ke AS telah jatuh sehingga 70% dalam tempoh Julai hingga Oktober 2008.
Banyak juga negara-negara di dunia turut sama mengalami tempias kemelesetan ekonomi dunia. Bank Pembangunan Asia melaporkan pertumbuhan di Asia pada tahun 2009 (tidak temasuk Jepun) akan menjadi lebih perlahan dalam sejarah sejak lapan tahun yang lalu. Ini berikutan pertumbuhan Asia pada bulan September 2008 iaitu pada 7.2% telah jatuh ke 5.8% pada bulan Oktober 2008.
Jika diperhatikan dibalik media-media cetak dan elektronik, saranan-saranan baru untuk memulihkan sistem ekonomi dunia adalah dengan memperkenalkan sistem ekonomi Islam. Negara-negara Arab yang kaya dengan sumber asli terutamanya minyak turut menjadi tumpuan supaya mereka mampu untuk memulihkan ekonomi dengan baik. Sistem perdagangan menerusi mata wang dinar juga sedang diperhalusi untuk diimplementasikan. Namun halangan besar yang kemungkinan timbul apabila political will masih tidak menyebelahi negara-negara umat Islam. Permintaan terhadap dolar masih lagi berjalan dan ini merumitkan lagi keadaan.
Perubahan politik dunia
Sejak fenomena Barrack Hussein Obama memenangi pilihanraya Presiden AS beberapa minggu yang lalu, masyarakat dunia memandang bahawa AS akan mengemudi perubahan. Keyakinan pengundi AS kepada komitmen serta tawaran politik Obama dikatakan menjadi nadi kepada perubahan yang dimahukan oleh rakyat AS khususnya. Ini kerana polisi dan dasar luar Bush dikatakan terlalu ekstrim dan tidak mempedulikan keamanan serta hak asasi manusia sejagat. Namun begitu, dunia masih menunggu kenyataan rasmi bakal Presiden AS, Barrack Hussein Obama terhadap dasar luarnya terutama kepada negara Iraq, Afghanistan dan Palestin.
Begitu juga kesedaran rakyat dunia membenci kesyaitanan Bush. Ini dibuktikan selepas peristiwa Muntadzir dan kasutnya turut meninggalkan dampak besar kepada masyarakat dunia. Ramai pemimpin Arab seperti Syiria dan Lubnan memuji tindakan beliau malah ramai penunjuk perasaan di serata dunia membaling kasut ke kedutaan AS tanda benci dan marah kepada rejim diktator tersebut.
Kekuatan yang wujud pada negara umat Islam Iran harus diberikan perhatian. Iran merupakan harapan baru kepada masyarakat Islam di dunia untuk menjadi kuasa pengimbang kepada AS. Kesungguhan pemimpin Iran mengherdik dan memperkukuhkan kuasanya bagi mendepani musuh Allah terutamanya AS dan Israel harus diberikan sokongan.
Begitu juga di peringkat ASEAN, perubahan landskap politik yang sedang dan akan dilaksanakan dibeberapa buah negara seperti Indonesia, Thailand dan Malaysia. Momentum yang ditunjukkan semuanya atas agenda yang sama iaitu perubahan. Justeru, perubahan-perubahan ini sedikit sebanyak menggerakkan minda dan jiwa rakyat untuk menuntut kebenaran dan keadilan. Lantas, ia sedikit sebanyak membayangkan kebangkitan untuk meruntuhkan kezaliman dan mencari satu kehidupan baru. Maka dengan ini agenda Islam harus memainkan peranan penting.
Kebangkitan dan propaganda Islamofobia
Islamofobia merujuk kepada prejudis atau prasangka buruk yang dipalitkan kepada Islam. Propaganda ini wujud sejak tahun 1980-an menurut Quraisyi (2005). Propaganda jahannam ini seringkali menjadi justifikasi Kaafiruun untuk menghancurkan umat Islam dan menanamkan rasa benci dan marah masyarakat dunia terhadap agama Islam. Ekstremis, barbaric, kejam dan diskriminasi adalah antara tema memerangi umat Islam.
Islamofobia ini diwujudkan apabila kebangkitan Islam secara senyap dan terang mula mendapat tempat di ruang masyarakat. Malah, mungkin ramai manusia sudah berbondong-bondong menganut agama Islam secara senyap di negara-negara Eropah. Ini melonjakkan kerisauan Kaafiruun dalam usaha mereka untuk mengagungkan Orde Baru Dunia dan mentransformasikan Timur Tengah (The New Middle East).
Maka, peristiwa 11 September 2001, serangan pengebom berani mati dan tragedi Mumbai dikatakan menjadi alat propagandis untuk terus membenarkan serangan Kaafiruun terhadap umat Islam. La’natullah ini mewarnakan opini publik dengan cara menunjukkan ‘kekejaman umat Islam’ terhadap rakyat yang tidak berdosa.
Ghazza sasaran Israel La’natullah
Negara haram Israel yang dimaklumkan agak kecil rakyatnya tetapi mempunyai dana perolehan yang besar melebihi Palestin sendiri. Perbelanjaan-perbelanjaan mega yang direkodkan ketika setiap kali peperangan Israel adalah diluar jangkaan. Ini membuktikan dari sudut ekonomi dan kewangan Israel berdiri kukuh selagimana sumber-sumbernya serata dunia belum lagi dihancurkan.
Tindakan menyerang Ghazza dan Tebing Barat sebelum ini bukan kerana motif bisnes dan profit ekonomi sepertimana yang dilakukan AS terhadap Iraq sebelum ini. Pertumbuhan KDNK tahunan Palestin menyusut sehingga - 35% dan kadar kemiskinannya ialah 57%. Tindakan laknat mereka juga bukan kerana dasar mempertahankan diri dari serangan umat Islam. Tetapi tindakan mereka adalah kerana nafsu kejam dan zalim untuk menguburkan seluruh umat Islam di Palestin dan merobohkan kiblat pertama umat Islam di BaitulMaqdis. Sekiranya tindakan mereka itu ‘berjaya’ maka barulah wujudnya Israel Raya laknatullah.
Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) tidak mampu menghentikan serangan haram Israel terhadap Palestin. Ini kerana PBB juga yang turut meluluskan resolusi 181 yang secara langsung mengfaraidkan tanah umat Islam Palestin kepada Israel laknatullah pada tahun 1947. Malah, tidak ada apa yang mampu diharapkan sekiranya PBB turut dibayangi Condoleeze Rice dan AS.
Umat Islam perlu mengatur segenap inci strategi tindakan bagi menghalang Israel laknatullah dan sekutunya buat masa ini. Kemampuan badan Islam di dunia hanya dilihat kecil oleh mereka. Malah, ada diantara negara-negara yang terlibat dengan OIC turut menjadi proksi AS. Usaha pemboikotan barangan Israel laknatullah dan sekutunya perlu dilakukan secara konsisten disamping mempersiapkan kekuatan militer, pejuang-pejuang dan dana yang besar buat umat di Palestin. Jauh disudut hati juga mengharapkan negara umat Islam yang kuat seperti Iran, dan gerakan-gerakan Islam seluruh dunia mencipta ketumbukan padu menghancurkan Zionis, Israel dan sekutu mereka laknatullahi ‘alaihim.
http://miorisfandy.com
13 Muharram 1430h / 10 Januari 2009




