Tuesday, January 20, 2009

Presiden GAMIS Gesa MPP Pro-Mahasiswa Jadi Role-Model Semua Mahasiswa

Presiden GAMIS, saudara Dzul Khairi mengucapkan tahniah kepada Pro-Mahasiswa Universiti Malaysia atas kemenangan tipis dalam pilihanraya kampus Majlis Perwakilan Mahasiswa UM. Gamis Daily ketika menghubungi beliau menyatakan gesaan agar Pro-Mahasiswa perlu segera membuat pelan bertindak yang konkrit dan komprehensif untuk mengisi kemenangan yang telah dimandatkan oleh majoriti mahasiswa UM.

Beliau yang juga bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM menyatakan bahawa inilah masanya wajah baru MPMUM yang dinantikan selama bertahun-tahun sejak kegagalan Pro-Mahasiswa UM menawan semula persatuan terpenting di kampus perdana Lembah Klang tersebut. Justeru, aspek tarbiyah dan dakwah Islamiyah kepada semua mad'u berasaskan konsep Islam rahmat untuk semua mestilah diperkuatkan melalui kuasa baru para aktivis mahasiswa UM tersebut.

Segala janji dalam manifesto untuk menjuarai isu-isu dan permasalahan kebajikan mahasiswa UM mestilah ditunaikan tanpa mengambil kira kecenderungan politik mereka semasa membuat undian ketika PRK tersebut. Apa yang lebih penting adalah konsistensi para pemenang dari kem Pro-Mahasiswa tersebut untuk terus memperjung idealisme dan aktivisme mahasiswa di peringkat nasional, khususnya dalam mengukuhkan suara mahasiswa selaku watchdog kepada kerajaan yang memerintah. Pro-Mahasiswa UM mestilah bukan sahaja dikenali oleh pentadbiran dan HEP UM, tetapi mestilah juga dikenali oleh pentadbiran dan kerajaan Malaysia.

Kabinet Pro-Mahasiswa juga diingatkan untuk tidak lagi asyik mencari populariti sebagai kemuncak gerak kerja berpersatuan nanti dan mestilah mengutamakan gerak kerja mengakar ke bawah (down to earth) walaupun tidak dilihat oleh media supaya mandat kemenangan ini akan berkekalan, mendapat keberkatan dan berpotensi menang lebih besar dalam PRK akan datang.

Presiden GAMIS juga mengingatkan kabinet baru MPMUM supaya dan semua calon Pro-Mahasiswa yang menang di UPSI, UKM, UPM, UTM dan USM serta UIAM tidak lama lagi untuk mengukuhkan solidariti dan partisipasi bersama di peringkat nasional melalui front Badan Bertindak Mahasiswa Negara. Hubungan baik baik dengan semua orang, termasuk rakan-rakan Pro-Aspirasi, staf dan kakitangan universiti mestilah ditonjolkan semaksima mungkin, khususnya melalui kecemerlangan akademik para pimpinan MPP dari Pro Mahasiswa.

Kabinet Pro Mahasiswa seluruh IPTA juga diingatkan supaya tidak lupa sujud syukur dan mestilah mengamalkan sikap tawadhu' dan sentiasa menjalinkan hubungan lebih kuat dengan Allah selepas hubungan baik dengan manusia di kampus.

"Pro-Aspirasi adalah lawan kita ketika PRK, kini mereka adalah mad'u kita selepas PRK. Dekatilah mereka, dekatkanlah mereka pada Islam." ujarnya

Presiden GAMIS juga menyatakan bahawa kini seluruh pimpinan GAMIS meletakkan harapan yang tinggi kepada mahasiswa UIAM untuk mengekalkan arus perubahan dengan Pro-Mahasiswa (We Unite for Islam) kekal dalam MPP UIAM selepas keputusan rasmi diumumkan Khamis, 22 Januari ini.

No comments: