Monday, January 19, 2009

PRK : Jangan Perbudakkan Mahasiswa ! - Presiden GAMIS

Tsunami politik negara yang berombak di seluruh negara masih lagi terasa bahangnya bilamana Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu yang berlangsung baru-baru ini turut menatijahkan keputusan yang mempositifkan lagi sokongan terhadap Pakatan Rakyat. Politik Nasional sedang mengalami satu transformasi secara drastik tanpa disedari.

Sehangat perjalanan kempen yang berlangsung di Terengganu, “anak-anak pilihanraya nasional” yang dipacakkan gelaran Pilihanraya Kampus turut berlangsung dengan penuh kejutan dan emosi dan mendebarkan.

Beberapa buah kampus sudah menuju jalan ke arah membentuk kerajaan yang sah sesudah keputusan diumumkan. Kini hanya tinggal 2 buah kampus utama iaitu Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sedang menanti dengan seribu satu persoalan.

Baru-baru ini, universiti tertua di Malaysia, UM telah dikejutkan dengan pembudayaan rasuah semakin bermaharajalela di dalam pilihanraya kampus. Pembelian calon bertanding dan ugut- mengugut calon turut berlangsung dengan begitu rancaknya. Malah, lebih memeranjatkan lagi, perjalanan kempen pilihanraya kampus turut dicemari dengan polemik kepala babi di dalam surau Fakulti Pengajian Islam. Provokasi murahan ini adalah satu tindakan yang tidak bertamadun sama sekali serta mencemarkan imej keintelektualan suasana kemahasiswaan di sana. Campurtangan pihak polis yang tidak profesional malah mendokong dakwaan yang bersifat berat sebelah semasa insiden menyelongkar rumah aktivis pro-mahasiswa (rujukan Malaysiakini, bertarikh 15 Januari 2009) juga menggambarkan bahawa pilihanraya kampus di Malaysia masih lagi tidak menjunjung demokrasi yang adil dan semakin parah.

Beberapa universiti utama di Lembah Klang turut mengalami senario yang sama. Universiti Putra Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia misalnya dinafikan hak untuk berkempen secara adil. Lebih memualkan lagi apabila 6 calon pro Mahasiswa UPM digantung percalonan atas alasan yang sangat remeh, iaitu tidak meletakkan gam untuk melekatkan gambar di borang pencalonan, sebaliknya menggunakan klip.

Pilihanraya kampus kali ini kelihatan semakin ketara memperbudak-budakkan mahasiswa. Amatlah malang, bagi sebuah negara yang bercita-cita besar menjunjung tinggi tamadun serta dalam perkiraan menjadi sebuah negara maju dengan projek meganya yang bersusun-susun, masih lagi berfikiran ortodoks menghalang perkembangan budaya berfikir di kalangan mahasiswa. Mahasiswa seolah-olah terperangkap dalam zaman Feudal atau zaman gelap Eropah dalam kampus.

Justifikasi, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia dengan dengan tegas, mendesak agar kerajaan berhenti daripada melakukan penindasan baik dari segi fizikal mahupun mental kepada mahasiswa. Mahasiswa adalah aset negara paling mahal pada masa akan datang dan sekiranya sekatan pemikiran serta tradisi kemahasiswaan mengorak idea baru untuk negara melalui praktis di pilihanraya kampus terus menerus dicabuli, maka tidak syak lagi, kerajaan sekarang sedang merangka kehancuran masa depan negara dengan melahirkan ramai kaki kipas serta pak turut. Sekiranya pertahanan negara pada masa akan datang bertambah lemah gara-gara para belianya yang tidak berkualiti, maka kerajaan hari ini harus dipersalahkan kerana memporak-perandakan sistem pilihanraya kampus itu sendiri dengan mempotretkannya secara tidak adil dan menghalang budaya idealisme di kalangan mahasiswa.

GAMIS juga menyeru agar pihak lain turut memandang isu pilihanraya kampus ini sebagai perkara yang serius kerana ia adalah berkaitan halatuju kepimpinan negara masa hadapan. GAMIS turut berpandangan bahawa fenomena yang berlaku ini juga turut menguji ketelusan serta integriti sebenar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang baru diwujudkan dalam menangani kes rasuah yang dibangkitkan dengan lantangnya oleh Pro Mahasiswa Nasional dalam pilihanraya kampus ini.

Semua ahli gerakan pro-Mahasiswa Nasional juga diseru agar bersatu hati dalam membantu kampus-kampus yang bermasalah demi kemaslahatan ummah. GAMIS mengharapkan semua pihak mencelikkan mata memikirkan serta berusaha merubah masa depan generasi 20 tahun akan datang yang bakal tercorak melalui penjenamaan serta pendemokrasian semula yang lebih adil pilihanraya kampus.

No comments: