Thursday, October 9, 2008

Pilihan Raya Kampus Mula 15 Oktober

KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2008 - Bahang pilihan raya kampus yang melibatkan semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mulai terasa apabila beberapa universiti akan mengadakan pilihan raya mulai 15 Oktober ini.

Antara IPTA yang akan mengadakan pilihan raya pada 15 Oktober itu ialah Universiti Utara Malaysia (UUM) manakala pada hari berikutnya akan melibatkan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Bagaimanapun, IPTA lain masih belum mendapat bayangan mengenai tarikh pilihan raya akan bakal diadakan dan ada yang menjangkakan awal tahun depan.

Keadaan itu berbeza dengan tahun lalu apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menetapkan pilihan raya kampus diadakan secara serentak di seluruh negara.

Dipercayai keadaan ini berpunca daripada tsunami politik yang melanda negara ketika pilihan raya umum ke-12 yang berlangsung pada 8 Mac lalu.

Namun rata-rata, pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar menyifatkan keadaan tersebut tidak akan mempengaruhi suasana politik di dalam kampus.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UteM, Mohammad Firdaus Abdul Rahman, beliau yakin keadaan di dalam kampus tidak akan dipengaruhi oleh situasi politik semasa.

"Mungkin ada sedikit pengaruh tetapi di UteM, politik luar belum kuat dan isu-isu di dalam kampus cuma berkisar mengenai isu-isu kebajikan pelajar sahaja," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagi Yang Dipertua MPP UMP, Salman Razeni, beliau yakin suasana pilihan raya di kampusnya akan berjalan dalam suasana yang harmoni.

No comments: